100 usahawan sarang burung walet

Harian Metro 11 January,2008 (Jumaat)Oleh Mohd Husni Mohd Noor


GLOBAL Excellent Marketing (GEM), perunding dan pakar reka bentuk rumah burung layang-layang mahu melahirkan kira-kira 100 usahawan Bumiputera bagi memperluas industri ternakan itu.

Bagi mencapai sasaran itu, GEM akan bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk menganjurkan seminar dan kursus kepada sesiapa yang berminat.

Perunding Pemasaran GEM, Abdul Aziz Mohd Rejab, berkata pihaknya akan mengadakan pameran bergerak dan kursus sehari di seluruh negara mulai Februari depan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai terutama Bumiputera mengenai potensi industri ini.

Menurutnya, kursus dan pameran bergerak itu akan dikendalikan oleh cabang perniagaan GEM iaitu Global Entrepreneur Centre (GEC).“Kursus itu merangkumi aspek pengenalan dan latar belakang industri, potensi pelaburan, reka bentuk rumah burung walet, pengurusan projek dan teknologi yang digunakan, hasil dan keuntungan, risiko dan tip penting penentu kejayaaan dan kegagalan ternakan.“Setiap peserta kursus juga akan diberikan sijil oleh JPH bagi melayakkan mereka momohon untuk menjalankan industri ternakan itu pada masa depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Batu Caves.

Katanya, pihaknya yakin dapat membangun dan membaik pulih sekurang-kurangnya 100 bangunan untuk dijadikan rumah burung layang-layang yang dijangka diperolehi hasil daripada sambutan orang ramai terhadap kursus dan pameran bergerak yang diadakan itu.

Selain itu, GEM turut membuka peluang kepada pelabur yang berminat untuk membina rumah ternakan itu di mana segala pembangunan dan reka bentuk akan diuruskan oleh GEM.“GEM pula akan mendapat hak perkongsian sebanyak 20 peratus daripada projek ternakan itu dan segala urusan kutipan hasil dan pengurusan bangunan itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh kami,” katanya.

Abdul Aziz berkata, usahawan Bumiputera perlu mengambil peluang ini memandangkan ia mampu memberi pulangan sehingga 90 peratus selain pasaran sarang burung walet itu sendiri yang boleh mencecah antara RM4,500 hingga RM5,000 sekilogram.

Buat masa ini, terdapat sekurang-kurangnya 10,000 hingga 12,000 buah rumah ternakan itu di seluruh negara yang kebanyakannya berada di Perak dan Kedah.“Bagaimapun, hampir 90 peratus daripadanya dimiliki oleh usahawan bukan Bumiputera,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan kursus, GEM juga bercadang membangunkan makmal rumah burung layang-layang walet di Padang Serai, Kedah tahun ini dengan kos RM300,000.“Kami juga akan membangunkan 30 bangunan rumah burung berkonsepkan estet ternakan di kawasan seluas 3.2 hektar di Tanjung Agas, Port Dickson untuk tujuan jualan kepada pelabur yang berminat,” katanya.


Sumber: http://goldenswiftlet.blogspot.com/2008/05/keratan-harian-metro.html

Program Bimbingan Usahawan Muda (PBUM)

Pengenalan

Program Bimbingan Usahawan Muda(PBUM) adalah salah satu Program Belia Niaga khusus untuk belia yang ingin memulakan dan mengembangkan perniagaan. Belia yang berhasrat untuk memulakan perniagaan akan diberi bantuan insentif tidak melebihi RM 2,000 seorang.

--------------------------------------------------------------------------------

Kelayakan dan Syarat-Syarat

i) Warganegara Malaysia.

ii) Berumur antara 18 hingga 40 tahun.

iii) Menjadi ahli persatuan belia.

iv) Untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan secara sepenuh masa sahaja. Menjalankan perniagaan atau usaha tani secara sambilan tidak layak mendapat bantuan di bawah program ini.

v) Mempunyai kemahiran dalam bidang perniagaan yang diceburi.


--------------------------------------------------------------------------------

Proses Permohonan

i) Mengisi borang KBS/PPM 001-2006 pindaan 1/2008

ii) PBSD membuat melawat/ulasan

iii) Borang yang lengkap perlu dihantar ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri

iv) Pegawai ekonomi membuat ulasan

v) Mesyuarat Jawatankuasa Program Bimbingan Usahawan Muda

vi) Jawatankuasa Program Bimbingan Usahawan Muda adalah terdiri daripada :-
- Pengarah Negeri / wakil
- Pengarah (PE) / Wakil
- Penolong Pengarah Negeri Bahagian Belia
- Setiausaha (Pegawai Ekonomi Negeri)
- Ketua Kerani / Wakil


--------------------------------------------------------------------------------

Soalan-Soalan Lazim

i) Soalan 1
Apa itu Program Bimbingan Usahawan Muda (PBUM)

Jawapan 1

Program Bimbingan Usahawan Muda (PBUM) ialah satu skim bantuan modal kepada usahawan-usahawan muda yang telah dan ingin memajukan diri dalam perniagaan.


ii) Soalan 2
Siapa yang layak menerima bantuan di bawah skim ini?

Jawapan 2
Warganegara Malaysia yang berumur antara 18 tahun hingga 40 tahun. Telah dan akan memulakan perniagaan.

iii) Soalan 3
Berapa had bantuan?

Jawapan 3
Bantuan sebanyak RM2,000.00


iv) Soalan 4
Bentuk bantuan yang macam mana?

Jawapan 4
Dalam bentuk barangan keperluan berdasarkan permohonan yang dikemukakan melalui borang KBS/PPM 001-2006 pindaan 1/2008 yang boleh dicetak melalui portal ini.

v) Soalan 5
Bagaimana nak dapatkan bantuan?

Jawapan 5
Isi borang permohonan dan kemukakan bersama sebutharga bagi pembelian barangan kepada Pejabat Belia dan Sukan daerah yang berhampiran dimana projek beroperasi.

vi) Soalan 6
Bentuk perniagaan yang bagaimana yang diberikan bantuan?

Jawapan 6
Semua jenis perniagaan yang dibenarkan oleh undang-undang negara dan tidak menyalahi Syariat dan hukum Islam.

vii) Soalan 7
Skim ini untuk bumiputra sahajakah?
Jawapan 7
Tidak. Skim ini terbuka untuk semua warganegara Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit yang berumur 18 tahun hingga 40 tahun.


Sumber: http://www.mpeb.gov.my/PortalTEB/peniaga.php

Download borang: http://www.mpeb.gov.my/PortalTEB/Dokumen/borang_pbum.pdf