USM perintis projek cacing harimau

Oleh: Genie Lim Siew Lin

Universiti Sains Malaysia (USM) bakal memiliki Rumah Cacing (Worm Farm House) sendiri bagi menternak cacing harimau secara komersil yang akan bermula pada awal Mac. USM adalah satu-satunya institut pengajian tinggi di negara ini yang mengusahakan projek cacing harimau ini.
Projek di bawah kendalian Dr Hasnah Md Jais dari Pusat Pengajian Biologi ini mendapat galakan daripada banyak pihak termasuk Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dzulkifli Abdul Razak, Unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), para penyelidik dan enam orang pelajar dari Pusat Pengajian Biologi.
Menurut Dr Hasnah, projek penternakan cacing harimau ini akan memberi satu revolusi baru dalam bidang penternakan dan pertanian.
“Kos bagi projek ini dibiayai dengan kerjasama oleh Sekretariat Kampus Sejahtera USM, pihak swasta, dan juga orang perseorangan yang berminat dengan projek ini. Pihak universiti juga sedang meminta satu geran khas bagi membiayai projek ini daripada pihak kerajaan,” katanya.
Tambah Dr Hasnah, projek cacing harimau itu juga akan dilaksanakan di Pulau Singa Besar, Langkawi yang berkonsepkan eko-pelancongan tidak lama lagi.
“Cacing harimau yang boleh membesar dalam masa dua setengah hingga tiga bulan ini akan dijadikan makanan haiwan ternakan seperti ayam, itik dan ikan.
“Selain itu, najis cacing ini juga boleh digunakan sebagai baja tumbuhan kerana ia semulajadi dan kaya dengan mikronutriens,” jelasnya.
Menurut Dr Hasnah, cacing berkenaan mengandungi zat protein yang tinggi berbanding bijiran soya yang digunakan sekarang. Kacang soya hanya mengandungi 30 peratus protein berbanding cacing harimau yang mempunyai 65 peratus protein.
“Kos penjagaan yang murah dan mudah menyebabkan pihak kami berminat mengendalikan projek ini.
“Namun, penjagaan cacaing harimau ini memerlukan kesabaran kerana ia sensitif terhadap suhu dan kandungan air yang tinggi,” ujar Dr Hasnah.
Tambah beliau, projek itu mendapat sambutan yang baik daripada syarikat-syarikat swasta dan mereka meminta projek ini agar dikomersilkan.

No comments: